Boleh dibeli online di
http://shop.lejenpress.com/shop/kolonial-mimpi/
Di suatu masa hadapan -Tahun 2066…
Metropolis Kuala
Lumpur diselebungi kabus yang tebal. Sayup-sayup kedengaran, suara-suara
tempikan para demonstran jalanan yang menuntut hak-hak kebebasan mereka. Entah
ini sudah masuk hari keberapa Gerakan
Revolusi Sekular yang dipimpin seorang Tan Sri itu mengadakan bantahan pada
kerajaan yang dikatakan paling Islam di dalam dunia. Jalan raya hanya dipenuhi
oleh susuk-susuk tubuh manusia yang berarak menuju ke Dataran Merdeka.
Bergema-gema laungan revolusi dari corong-corong heila mereka. Negara sedang kalut.
Sebuah teksi
bergerak perlahan menuju ke sebuah hotel membelah perarakan para demonstran
itu. Hotel yang secara tiba-tiba sahaja muncul di balik kabus tebal di tengah
kota metropolis Kuala Lumpur. Teksi yang bergerak tanpa pemandu itu berhenti di
perkarangan hotel dan pintu di bahagian penumpangnya terbuka. Seorang lelaki
berwajah Inggeris kelihatan keluar dari teksi itu diikuti oleh seorang pemuda
melayu yang menggalas sebuah beg pakaian dan membimbit sebuah beg bimbit
berwarna hitam. Lelaki berwajah Inggeris
itu berdiri tegak melihat pintu masuk hotel di hadapannya tanpa menghiraukan
teksi yang mereka naiki tadi ghaib perlahan-lahan di balik kabus di jalanan.
Terasa seperti ada yang tidak kena di hati lelaki berwajah Inggeris itu ketika
ini. Dia melihat dirinya sendiri. Dia sedang memakai baju kemeja berwarna biru
dan seluar panjang berwarna hitam. Persis dengan pakaian yang dipakai oleh
pemuda melayu di sisinya itu. Bukankah ianya seperti tidak masuk akal dia
berpakaian sebegitu? Seperti berlaku kesilapan. Dia pada fikirannya, haruslah
memakai pakaian berwarna putih. Pakaian seorang doktor. Kerana sememangnya dia
adalah seorang doktor. Dia memandang ke arah pemuda melayu yang berdiri kaku di
sisinya.
“Apa ini
percampuran identiti? Persamaan emosi?” katanya pada pemuda melayu itu yang
berdiri tanpa sebarang raut emosi di wajahnya. Pemuda melayu itu hanya diam
membisu memandang pintu masuk lobi hotel di hadapan mereka. Tiba-tiba
kedengaran di telinga lelaki berwajah Inggeris itu akan bunyi beep yang
laju. Dia mengetahui, detakan jantung pemuda melayu itu berdetak dengan pantas
ketika ini. Dia mengerutkan dahi kehairanan. Bunyi beep ditelinganya itu
perlahan-lahan digantikan dengan bunyi-bunyi tempikan dan tembakan yang datang
dari pelbagai arah. Lelaki berwajah Inggeris itu melihat ke sekitarnya dengan
penuh tanda tanya. Di jalanan, berhadapan dengan perkarangan hotel di mana
mereka berdiri ketika ini, kelihatan para demonstran yang tadinya bergerak
menuju ke arah dataran Merdeka, sedang berpatah balik dalam keadaan seperti
kehilangan arah. Segerombolan askar diRaja kelihatan muncul mengejar para
demonstran sambil mereka melepaskan tembakan. Kabus tebal yang menyelubungi persekitaran
mulai hilang perlahan-lahan digantikan dengan simbahan cahaya mentari. Lelaki
berwajah Inggeris itu memandang pemuda melayu di sisinya dengan penuh keanehan
dan keterujaan.
“Ketika ini sedang
berlaku pemberontakan, bukan? Tiap jalanan dan lorong bakal bermandi darah bila
askar-askar diRaja itu mulai ambil tempat,”
kata lelaki berwajah Inggeris itu merenung wajah pemuda melayu yang diam
seribu bahasa. “Darurat. Saya merasakan adalah lebih baik sekiranya Raja
mengisytiharkan perintah darurat untuk keadaan sebegini,” sambung lelaki
berwajah Inggeris itu lagi lalu dia melangkah menuju masuk ke dalam hotel.
Pemuda melayu itu mengekorinya tanpa diarahkan.
............
“Bilik 311. Atas nama
Hairi Bin Asmawi.”
Wanita di kaunter reception hotel
terdiam seketika mendengarkan bicara lelaki berwajah Inggeris itu yang fasih
berbahasa Malaysia. Wanita tanpa nama itu mengerling pemuda melayu di sebelah
lelaki berwajah Inggeris itu lalu tersenyum. Beberapa susuk tubuh manusia mula
muncul satu persatu di lobi hotel. Ruang legar lobi hotel dengan perlahan-lahan
terisi dengan suara-suara manusia yang tidak dikenali. Suara-suara yang
kedengaran seperti gusar dan risau akan keadaan di luar hotel ketika ini yang
sedang huru-hara. Melihatkan keadaan itu, pemuda berwajah Inggeris itu
merasakan, sudah hampir tiba masanya untuk dia meninggalkan pemuda melayu
bernama Hairi itu di sini.
Selesai proses daftar masuk di kaunter
reception hotel, lelaki berwajah Inggeris itu bergerak menuju lif. Tanpa
sebarang bicara, pemuda melayu itu menggalas sebuah beg pakaian dan membimbit
sebuah beg hitam, mengekori lelaki Inggeris dan meninggalkan gadis tanpa nama
di kaunter reception hotel melayan seorang lelaki berusia yang memakai
ketayap. Mereka berdua naik ke tingkat tiga, masuk ke dalam bilik bernombor
311. Bilik yang telah ditempah sejak awal-awal lagi.
“Saya akan tinggalkan kamu di sini dan kamu akan
mula bergerak sendiri lepas ni. Tapi, jangan khuatir. Segala-galanya telah
dicaturkan untuk kamu. Semoga segalanya berjalan lancar hingga ke akhir. Dan kita
akan bertemu lagi selepas ini,” kata lelaki berwajah Inggeris itu kepada pemuda
melayu yang tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Pemuda melayu itu seolah-olah
telah dipukau oleh lelaki berwajah Inggeris itu dengan satu kuasa magis. Tanpa
mengerdipkan mata, dia hanya duduk diam di birai katil. Lelaki berwajah Inggeris itu kemudiannya
mengeluarkan satu jarum suntikan dari kocek seluarnya lalu dia menyuntik
tengkuk pemuda melayu itu. Dalam beberapa saat, pemuda itu rebah terbaring di atas
katil dengan mata yang terbuka.
Sebelum melangkah keluar dari bilik 311, lelaki
berwajah Inggeris itu membuka beg pakaian yang dibawa pemuda melayu itu tadi.
Mengeluarkan segala pakaian yang ada di dalam beg itu dan mengemaskannya ke
dalam almari pakaian. Ianya sudah menjadi satu tabiat kepada lelaki berwajah
Inggeris itu agar segala-galanya berada dalam keadaan kemas dan teratur.
“Godspeed..” ucap lelaki berwajah
Inggeris seraya menutup pintu bilik meninggalkan pemuda melayu itu keseorangan
di bilik hotel bernombor 311.
Tiga
puluh minit kemudian, satu letupan kecil berlaku di bilik kawalan keselamatan
hotel tersebut. Merosakkan segala rakaman kamera litar hotel yang ada. Dan
keadaan di luar hotel, kelihatan mulai parah. Tubuh-tubuh para demonstran bergelimpangan
di atas jalan raya.