Pengalaman Pertama Gua Membawa BMW

23 Disember 2011 Dikarutkan oleh Linglung

Setelah diterima berkhidmat sebagai budak praktikal di sebuah syarikat carigali petroleum dan gas tanahair (nama tak disebut takut syarikat tersebut menjadi riak), gua pun mulalah berkecimpung dalam bidang pemakaian smart smart dan kasut kulit terjungkit di depan. Skop kerja yang diberi kepada gua dengan mudahnya gua siapkan dan dihantar kepada boss wanita gua dengan sengih kerang. Gua tahu setiap kali gua hantar kerja gua yang cepat siap itu, boss gua mesti kagum tak sudah dengan bakat dan semangat kerja yang gua tunjukkan. Itu orang kapal panggil bakat tenggelam.

Saban hari setiap kerja yang diamanahkan gua buat seolah-olah semuanya hanya di celah gigi. Kerja menaip, kerja fotostat, kerja ukur bodi makcik cleaner, kerja keluar lunch bersama boss dan rakan sekerja, kerja bergurau senda dengan ahli-ahli fesbuk dan macam-macam lagi kerja aneh gua buat dengan selamba kodok. Sampaikan kadang-kadang gua berasa power bukan main di dalam diri. Maklumlah, ketika itu gua ni boleh tahan muda juga. Kacak tu boleh kata level-level Aaron Aziz ketika sakit perut kalau dibanding-bandingkan betul-betul.

Suatu tengahari, ketika gua leka meninggalkan komen di laman fesbuk ahli fesbuk daripada sekolah lama, gua diajak oleh boss gua untuk mengikut dia pergi entah ke mana.

"Kita nak pergi mana ni boss?" tanya gua kepada boss wanita gua sambil menyinsing lengan kemeja ke atas paras siku.

"Ko ikut je la. Ko kena jadi assistant aku hari ni.." jawab dia. Di tanggannya terjinjing beg tangan warna keladi.

Gua capai beg sandang gua di atas meja dan keluar daripada opis. Pintu lif terbuka otomatik. Gua jalan sebelah-menyebelah dengan boss wanita gua menuju ke kereta beliau yang terletak lebih kurang sembilan depa dari lif.

"Nah ambik ni. Ko jadi drebar aku hari ni. Nak kena pergi Bangunan Matrade kat Jalan Duta.." dia hulur kunci kereta BMW 5 Series. Gua buat-buat rileks walaupun padahalnya di dalam hati gua mata dah terbeliak.

"Baik boss.." gua masuk dan duduk di sebelah kerusi drebar kereta BMW boss gua.

"Macamana nak start ni boss?" tanya gua tanpa malu dan berpegang kepada prinsip malu bertanya sesat jalan.

"Macam gini nak start..." boss wanita gua tunjuk demo.

Ekk Ekkk Syiit! Ekk Ekkk Syiit! Kereta pun hidup.

"Boss..lesen saya tertinggal dalam kereta saya. Saya pergi ambik sekejap yek?"

"Haa..cepat sikit. Dah lambat kita ni.."

Gua berlari pecut bukan main ke kereta. Gua ambil barang penting berwarna hitam dan pecut semula ke kereta dengan laju yang bukan main juga. Gua duduk semula di tempat drebar. BMW itu gua pacu membelah jalan menuju ke Jalan Duta. Lubang-lubang gua tak elak mana sebab kalau masuk lubang pun rasa dia macam tak masuk lubang. BMW gua tu tak sama macam kereta Malaysia gua yang satu lagi. Lain habis!

Bangunan Matrade dah tersergam lawo di depan mata gua. Gua membawa kereta masuk ke dalam dengan sebelah tangan.

"Drop aku kat depan lobby tu. Nanti lagi sejam aku call baru datang ambik.." boss wanita gua nampak sangat tergesa-gesanya.

"Kereta ni nak parking mana ni boss?" soal gua.

"Pandai-pandai ko la. Nanti claim," boss gua berlari-lari anak dan kemudiannya tak dinampaki oleh mata gua lagi.

Hmmmmm! Hmmmmm!

Gua seluk kocek baju kemeja dan mengeluarkan barang penting berwarna hitam yang gua ambil daripada kereta Malaysia gua tadi. Barang itu gua pakaikan di atas hidung dan selitkan di celah cuping telinga. Spek mata Ray Ban!

Dengan sebelah tangan gua bawa kereta pusing-pusing bangunan Matrade. Ekor mata gua jeling kiri kanan kot kot la ada makwe sedang menengok gua membawa BMW. Perasaan dia macam membengkak di hati, kembang. Angkuh tu ada menaik sikit-sikit. Lepas lebih kurang sepuluh minit gua terpusing-pusing membawa BMW, gua pun mulalah berasa boring. Gua cari satu tempat parking yang sesuai.

Shuuuppp!

Gua parking di dalam kotak. Gua toleh ke kanan. Ada makwe di dalam kereta sebelah. Gua angkat kening dan cabut sepek mata Ray Ban. Pehh! Itu jam gua rasa sebijik macam dalam cerita mat saleh!

Share

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang urusan dan pertanyaan untuk pengiklanan, undangan majlis VIP, jemputan perkahwinan, petua ilmu kebatinan, tips-tips membuat duit palsu menggunakan daun pisang, pendapat tentang soal cinta dan segala macam rahsia cakerawala samada rasmi ataupun bukan rasmi, anda boleh e-melkan kepada saya di aisalinglung [at] gmail.com. Untuk lebih mudah, isi borang e-mel dengan menekan tab 'contact' nun di atas sana.