Syahmi Amri Mencari Nafkah Di Kota

13 Disember 2011 Dikarutkan oleh Linglung

Musim cuti sekolah ni ramai budak-budak yang mengalami kenikmatan tak perlu buat kerja sama tiap-tiap pagi hari iaitu bersusah-payah pergi ke sekolah. Kebanyakan mereka mengisi masa lapang di rumah dengan mengusik adik, tidur di depan tv, menolong emak membuang sampah, bermain susun sofa banyak-banyak buat tempat bersembunyi dan banyak lagi hal ehwal budak-budak yang tidak banyak mendatangkan faedah.

Perkara ini tidak berlaku kepada Syahmi Amri, seorang murid tingkatan 3 yang sedang menunggu keputusan PMR. Berbekalkan semangat waja seutuh besi khursyani dia datang dari kampung bertandang ke rumah gua yang terletak di belakang Sunway Lagoon. Mula-mula dia tersengih-sengih juga tak tahu nak buat apa di bandar ni. Jadi gua pun perah otak sedikit sebanyak dan berjaya mengeluarkan satu idea bernas dan canggih kemain.

"Syahmi Amri, engko nak kerja?" soal gua sambil melontarkan pandangan jauh ke depan di LDP yang sesak hendak mampus.

"Kijo gapo?" Syahmi Amri menyoal gua semula. Jerawat batu di pipi dikutis-kutisnya dengan hujung jari telunjuk.

"Jual pin dengan buku.." gua toleh pandang Syahmi Amri yang duduk di sebelah kerusi penumpang belah ]depan.

"Mano?" dia tanya lagi dalam loghat Kelate.

"Depan Uya, sebelah Canai Cafe. Bukak table kat depan kedai cd tu.." balas gua secara terperinci. Syahmi Amri tersengih-sengih tanda setuju.

Itu malam gua jumpa tauke kedai cd, Ah Seng. Selepas beberapa minit berbincang usahawan, gua dan Ah Seng mencapai persetujuan yang membolehkan Syahmi Amri untuk berdagang di depan kedai cd Ah Seng.

"Sekarang pukul 8. Engko bukak table ni sampai pukul 12. Amacam?" Gua pandang Ssyahmi Amri dan memberi beliau duit cucur.

"Ok bereh.." Syahmi Amri tersengih-sengih lagi.

"Target sale ini malam dalam seratus. Aku bagi komisyen 20%. Orait?" Gua menawarkan pakej bonus yang agak setimpal.

"Ok bereh.." Syahmi Amri semuanya beres.

Kereta lalu-lalang, budak-budak muda dah mula ke sana ke mari cuba mencari life yang belum dijumpai, orang-orang opis melepak melepas penat seharian bekerja di kedai mamak, kucing-kucing jalanan melilau tak tentu arah entah cari apa. Detik demi detik berlalu. Saat bergerak satu persatu. Jarum pendek berganjak dari menunjuk ke jarum 8 mengensot-ensot ke jarum 12.

Gua menapak ke depan kedai cd Ah Seng.

"Amacam?" soal gua sambil kemas table tempat Syahmi Amri berniaga.

"Ada sale.." jawab Syahmi Amri.

"Berapa?" gua bingkas inkuiri.

"Lima ringgit..." Syahmi Amri tersengih-sengih. Gua termenung.

"Nah seringgit duit komisyen.."

Itu malam gua tidur dengan tangan di dahi.



Share

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang urusan dan pertanyaan untuk pengiklanan, undangan majlis VIP, jemputan perkahwinan, petua ilmu kebatinan, tips-tips membuat duit palsu menggunakan daun pisang, pendapat tentang soal cinta dan segala macam rahsia cakerawala samada rasmi ataupun bukan rasmi, anda boleh e-melkan kepada saya di aisalinglung [at] gmail.com. Untuk lebih mudah, isi borang e-mel dengan menekan tab 'contact' nun di atas sana.