Biografi Penulis



Linglung mula berkecimpung dalam bidang penulisan secara amatur sejak dari bangku sekolah lagi iaitu sekitar tahun 1989-1990. Penulisan pertama yang bertajuk 'Keluarga Saya' mendapat kritikan hebat daripada guru mata pelajaran bahasa melayu beliau dan rakan sedarjah. Namun begitu, ibu bapa Linglung tetap memberi semangat dan dorongan untuk beliau terus menulis dan menanam erti ungkapan 'biarlah mereka mengejek, mereka dapat dosa, kita dapat pahala'.

Berkat ketabahan dan kecekalan, semasa di darjah 6, Linglung berjaya mewakili sekolah ke Pertandingan Menulis Karangan peringkat daerah Rompin anjuran Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) dan berjaya memenangi hadiah saguhati tempat ke-9 (kah kah kah! hebat bukan?). Sijil penyertaan pertandingan itu masih tersimpan kemas di dalam fail beliau dan sering di bawa bersama ketika menghadiri temuduga kerja.

Beliau mula berblog pada tahun 2007 secara ala-kadar dan asal boleh. Prinsip beliau ketika itu adalah 'orang lain ada blog, gua pun ada blog'. Dengan prinsip yang padu sedemikian rupa, beliau mula bosan dan berdikit-dikit mula suam-suam kuku dengan aktiviti bersifat blog. 

Selepas beberapa ketika, sedar akan pembaziran masa dan sedikit sebanyak didorong oleh hati yang pecah dek kerana bunga, beliau mula bertekad untuk menulis secara serius dalam sebuah blog baru yang diberi nama 'Aku Linglung'. Dengan hati yang cekal dan limpa sekuat besi, entri pertama berjaya diblogkan dan seperti yang dijangka ianya gagal mendapat sambutan hangat mahupun suam daripada umum. Mengikut penilaian, entri tersebut hanya berjaya mendapat tiada langsung komen dan tiada langsung pengunjung ke blog tersebut. Beliau berasa nestapa lantas menendang pintu bilik air beberapa kali dengan berkaki ayam, tetapi yang ajaibnya pintu itu tidak pecah. Sakit juga kaki beliau ketika itu, ada merah-merah dekat tepi.


Selepas entri yang ke-4, barulah ada insan yang sudi melawat ke blog beliau dengan meninggalkan sepatah-dua kata di ruangan komen. Tetapi, sejak daripada itu beliau sedar bahawa kejujuran, niat dan seni yang dituangkan dalam setiap penulisan adalah lebih penting daripada nilai jumlah komen dan pengunjung. Itu adalah erti sebenar kepuasan dalam menulis dan berblog.

Cita-cita beliau satu hari nanti adalah ingin bergambar bersama idola dan simbol sastera negara, A. Samad Said untuk dibuat kenang-kenangan dan gambar profail di facebook dan twitter.



Share

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang urusan dan pertanyaan untuk pengiklanan, undangan majlis VIP, jemputan perkahwinan, petua ilmu kebatinan, tips-tips membuat duit palsu menggunakan daun pisang, pendapat tentang soal cinta dan segala macam rahsia cakerawala samada rasmi ataupun bukan rasmi, anda boleh e-melkan kepada saya di aisalinglung [at] gmail.com. Untuk lebih mudah, isi borang e-mel dengan menekan tab 'contact' nun di atas sana.